Karangan Impak Positif Kerja Lima Hari Seminggu?

January 10, 2008 at 4:50 am (Uncategorized)

Kerajaan melaksanakan dasar bekerja lima hari seminggu. Pelbagai pihak memberi komen mereka.

Jelaskan kebaikan-kebaikan yang timbul menerusi langkah ini.

Kerja lima hari seminggu merupakan satu idaman kepada semua masyarakat pekerja di mana-mana mereka berada. Oleh itu, pengumuman kerajaan untuk mewajibkan pekerja sektor awam bekerja lima hari seminggu telah disambut dengan penuh keceriaan oleh rakyat di negara ini. Masing-masing sudah mempunyai pelbagai rancangan tersendiri untuk memenuhi masa cuti dua hari itu. Jadi, memang banyak implikasi positif yang timbul daripada pengenalan dasar ini.

Impak positif pertama yang timbul ialah golongan pekerja akan menerima rehat yang secukupnya. Keadaan ini penting kerana rehat yang cukup memastikan pekerja mampu melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin. Rehat yang cukup ini menjadikan pekerja lebih fokus dan ceria ketika menjalankan kerja mereka yang membawa kepada peningkatan produktiviti. Kadar cuti sakit turut mampu dikurangkan secara drastik. Sesungguhnya, kerja lima hari ini menjadikan pekerja lebih cekap dalam melaksanakan tugas mereka kepada masyarakat.

Selain itu, dasar positif yang diimplementasikan oleh pihak berwenang ini memastikan masyarakat pekerja di negara ini mempunyai masa yang cukup untuk bersama-sama keluarga. Tumpuan yang lebih kepada keluarga dalam alaf yang penuh cabaran ini sudah pasti mengurangkan peningkatan kemelut sosial yang melanda negara terutama dalam kalangan remaja. Ibu bapa dapat menumpukan masa dengan anak-anak mereka pada hujung minggu untuk mendengar dan memahami kehidupan remaja yang penuh tekanan dan kegetiran ini. Jadi, masa dua hari cuti itu memastikan negara memiliki golongan remaja yang berkualiti dan memahami erti kehidupan sebenar kerana masa keluarga dititikberatkan oleh ibu bapa.

Masa cuti dua hari seminggu itu bakal digunakan untuk bersiar-siar di dalam negara bersama-sama keluarga. Tindakan ini sudah pasti memajukan industri pelancongan negara. Pusat-pusat pelancongan negara akan menjadi tumpuan rakyat negara ini kerana mereka boleh merancangan percutian mereka lebih awal. Kemajuan dalam industri ini turut menjana perkembangan ekonomi negara yang lain seperti pembinaan kemudahan awam dan memberi peluang pekerjaan. Maka, cuti yang diberikan itu mampu memberi nafas baru kepada industri pelancongan negara yang kini terlalu bergantung kepada pelancong asing.

Malah, dasar positif ini turut memberikan imej yang positif yang kepada masyarakat luar. Golongan pekerja di negara ini dilihat menerima pembelaan yang sewajaranya daripada kerajaan yang turut dinikmati oleh beberapa negara maju yang lain seperti Perancis dan Itali. Dasar ini turut meningkatkan kefahaman masyarakat luar bahawa rakyat di negara ini mengutamakan kehidupan lain selain bekerja. Lantaran itu, masyarakat luar akan menyanjung dan menjadikan negara ini sebagai contoh kepada negara-negara yang sedang menuju kea rah pembangunan.

Dasar ini turut mampu mengurangkan impak pemanasan global yang sedang melanda negara. Ketiadaan aktiviti pejabat selama dua hari itu memastikan jumlah kenderaan di jalan raya turut berkurangan bersama-sama dengan penggunaan peralatan pejabat yang lain seperti pendingin hawa. Situasi ini menyebabkan kurangnya penghasilan karbon dioksida ke udara yang menjadi punca utama pemanasan global. Justeru, bukan sahaja masyarakat tetapi alam sekitar turut menerima impak positif daripada dasar ini.

Natijahnya, dasar lima hari bekerja ini memang memberi impak yang besar dalam kehidupan masyarakat di negara ini. Semua pihak termasuklah kerajaan menerima kesan daripada pelaksanaan dasar ini. Cuma dalam keghairahan kita melaksanakan dasar ini, kita harus merenung secara mendalam kesan buruk yang bakal menimpa negara ini terutama dalam persaingan ekonomi negara jiran.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: