Untuk Persiapan Akhir Komsas SPM 2009

November 16, 2009 at 3:09 pm (Uncategorized)

Soalan Spot BM KOMSAS SPM 2009

CERPEN
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau
3. Virus Zel Untuk Abah

DRAMA
1. Serunai Malam
2. Kerusi

PROSA KLASIK
1. Sabor
2. Pertarungan Tuah dengan Jebat

SAJAK
1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya
3. Anak Laut
4. Derita Pertama
5. Jalan jalan raya kotaku

PUISI TRADISIONAL
1. Pantun Kiasan
2. Seloka Pak Kaduk
3. Pantun Enam Kerat
4. Syair Kelebihan Ilmu

Permalink Leave a Comment

Karangan SPOT SPM 2009…Pencemaran Alam di Malaysia?

November 11, 2009 at 2:00 pm (Uncategorized)


Negara dikatakan mempunyai kadar pencemaran alam yang tinggi terutama kemusnahan hutannya. Hutan negara dikatakan akan pupus dalam masa 20 tahun sahaja.

Jelaskan punca-punca pencemaran alam ini.

Kadar pencemaran alam di negara ini dikatakan begitu tinggi walaupun pihak berkuasa menafikannya berkali-kali. Kejadian sungau tercemar dan penggondolan kawasan hutan semuanya menceritakan betapa buruknya kadar pencemaran alam itu selain kejadian tanah runtuh yang semakin kerap berlaku. Pihak media massa turut membuat pelbagai laporan yang memberi gambaran bahawa kadar pencemaran alam negara memang begitu kritikal. Oleh itu, pemahaman tentang punca-punca pencemaran alam amat penting untuk menangani kemelut ini.

Salah satu penyumbang utama pencemaran alam di negara ini ialah sektor pembalakan yang begitu meluas dan intensif terutama di Sabah, Sarawak dan Pahang. Aktiviti pembalakan sama ada yang dibenarkan atau haram telah menyebabkan banyak kawasan hutan negara hilang dalam sekelip mata sahaja. Kita semua sedia maklum bahawa hutan menjadi salah satu alat penapis pencemaran yang semula jadi tetapi jika hutan sudah tiada bermakna sistem penapis pencemaran sudah hilang juga. Sesungguhnya, pencemaran alam di negara ini berlaku kerana meluasnya aktiviti pembalakan hutan.

Begitu juga dengan aktiviti pembuang sisa toksik ke dalam sungai, laut, tasik dan sistem takungan air negara. Syarikat lebih suka membuang toksik ke kawasan semula jadi ini kerana mereka tidak mahu mengeluarkan belanja yang besar untuk membersihkannya terlebih dahulu. Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan hampir semua sungai di negara ini sudah mengalami pencemaran yang tinggi. Maka, bayangkan sungai yang tercemar digunakan oleh manusia untuk menjalani kehidupan harian.

Salah satu konsep pencemaran alam yang kita abaikan ialah tahap kebisingan yang wujud terutama di kawasan bandar. Kalau kita kaji kadar kebisingan di bandar begitu tinggi terutama di kawasan pembinaan dan ketika jalan raya penuh sesak dengan kenderaan. Pencemaran ini memang tidak diberi penekanan kerana kesannya dikatakan tidak begitu ketara kepada manusia. Namun, kadar pencemaran bunyi yang tinggi mampu membuatkan masyarakat kita tidak lagi mampu untuk mendengar dengan baik.

Pencemaran alam juga berlaku dengan meluas kerana negara ini tidak memiliki perundangan yang ketat terhadapnya. Maksudnya perundangan negara yang sedia ada tidak begitu memberi penekanan kepada aspek pencegahan dan pengawalan yang melibatkan pengenaan hukuman yang berat seperti penjara arau dendaa yang tinggi nilainya. Bukan sahaja aspek perundangan yang tidak ketat tetapi pelaksanaan perundangan juga begitu longgar yang menyaksikan banyak kes pencemaran alam dibiarkan sahaja tanpa sebarang tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa. Maka, satu akta yang lebih efektif bersama-sama penguatkuasaan yang menyeluruh harus diaplikasikan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa untuk menangani kemelut ini.

Kadar pencemaran alam yang tinggi juga berkait dengan sikap masyarakat itu sendiri terhadap alam sekitarnya. Pemahaman masyarakat kita akan peri pentingnya alam sekitar dalam kehidupan mereka begitu rendah kerana menganggap manusia tidak memerlukan alam untuk meneruskan kehidupan ini. Ketiadaan sikap kepekaan akan kepentingan alam sekitar ini menjurus ke arah kegagalan sistem pendidikan golongan muda yang bakal mewarisi negara ini kelak. Jelaslah, sikap masyarakat yang sambil lewa sahaja terhadap alam sekitar mendorong berlakunya pencemaran alam pada kadar yang menakutkan ini.

Natijahnya, pencemaran alam telah berlaku dan akan terus berlaku jika tiada sebarang langkah konkrit untuk menghalangnya dibuat segera. Usah kita menuding jari menyalah satu sama lain dalam menyelesaikan masalah ini kerana itu bukanlah cara yang matang untuk menyelesaikannya. Sikap menghargai alam sekitar harus dipupuk dalam diri golongan muda di bangku sekolah dengan segera tanpa sebarang dalih lagi. Kalau kita mahu alam sekitar kita bersih maka diri kita sendiri harus bersih dahulu.

Permalink Leave a Comment

E-Buku 10 Skop Karangan SPM 2009…E-Buku Terbaru Saya

November 1, 2009 at 7:02 am (Uncategorized)


E-Buku 10 Skop Karangan SPM 2009 ini merupakan hasil terakhir saya buat sesi ini. Semua bahan karangan ini telah dibuat setelah analisa mendalam dilakukan terhadap soalan-soalan percubaan yang ada di negara ini.

Perbincangan lanjut juga diadakan bersama-sama rakan pendidik yang lain lalu terhasilah e-buku yang mudah tetapi mampu memberikan impak besar dalam persediaan pelajar menghadapi SPM 2009 itu.

E-Buku ini sesuai digunakan sebagai persiapan akhir atau sebelum memasuki dewan peperiksaan. Jika berminat sila emel kepada saya azmanukm@gmail.com segera kerana e-buku ini diterbitkan dalam jumlah yang terhad.

Permalink Leave a Comment

Karangan Cabaran Hidup Dan Strategi Menangani Masalah Remaja?

November 1, 2009 at 6:37 am (Uncategorized)


Para remaja sering menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka.

Sebagai remaja cadangkan strategi untuk menangani masalah remaja.

Kehidupan zaman remaja merupakan suatu zaman yang penuh dugaan hidup yang mencabar. Kewujudan cabaran ini menyebabkan banyak remaja menganggap kehidupan mereka tidak begitu penting lalu memudahkan mereka terjebak dalam pelbagai kancah gejala sosial yang mampu menjejaskan imej dan maruah diri remaja itu sendiri. Situasi ini seolah-olah memberi satu persepsi umum bahawa kemelut yang melanda remaja itu tidak boleh diselesaikan dengan begitu mudah. Namun, ada pelbagai strategi yang mampu dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk menangani pelbagai cabaran yang melanda kehidupan harian remaja itu.

Antara strategi awal ialah remaja harus disedarkan bahawa kehidupan mereka itu mempunyai matlamat atau tujuan yang tertentu. Kesedaran ini boleh ditimbulkan melalui pelbagai kempen kesedaran yang boleh dilakukan oleh pihak media massa menerusi filem atau iklan yang pasti ditonton oleh jutaan remaja kita. Setiap remaja yang menyedari bahawa kehidupan mereka mempunyai matlamat yang lebih besar selain daripada diri sendiri pasti akan mampu untuk menangani sebarang cabaran yang timbul dalam hidup mereka kerana sedar diri mereka mampu melakukan perubahan dalam kehidupan orang lain dan negara ini. Maka, remaja harus terlebih dahulu disedarkan tentang kepentingan memiliki matlamat hidup yang lebih jelas dan nyata.

Manakala strategi kedua ialah pihak sekolah harus mampu memberikan perkhidmatan kaunseling kepada mana-mana remaja yang bermasalah dengan efektif. Perkhidmatan kaunseling ini hendaklah dilakukan dengan sistematik dan diseliakan oleh guru-guru yang berpengalaman serta memiliki kemahiran yang cukup dalam aspek memberi nasihat yang positif kepada remaja kelak. Guru kaunseling bakal menjadi barisan awal untuk mengesan remaja yang bermasalah lalu segera membuat perubahan yang mampu membawa remaja terbabit ke pangkal jalan dengan segera. Sesungguhnya, khidmat kaunseling oleh pihak sekolah menjadi satu senjata pelindung yang paling praktikal dalam menangani cabaran hidup remaja kerana mereka menghabiskan masa yang lama di sekolah.

Selain itu, remaja yang sedang menghadapi cabaran hidup mampu menanganinya dengan kembali kepada ajaran keagamaan mereka. Semua ajaran agama di dunia ini cuba membawa penganutnya supaya menggunakan kaedah keagamaan untuk menjalani kehidupan di dunia dengan lebih baik selain mampu menyelesaikan masalah kehidupan mereka dengan lebih positif dan rasional. Benteng agama menjadi kriteria penting yang harus dimiliki dalam jiwa remaja terutama yang bermasalah kerana agama memberikan seseorang itu satu pegangan atau kepercayaan bahawa diri mereka mampu mengharungi badai kehidupan yang sedang melanda mereka itu. Jelaslah, semakin tebal kefahaman agama dalam diri remaja semakin besarlah peluang remaja itu untuk mampu menangkis sebarang cabaran kehidupan yang timbul dalam hidup mereka.

Pada masa yang sama ahli masyarakat umum turut berperanan untuk menegur atau membantu remaja yang sedang menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka. Kalau kita lihat kini masyarakat tidak lagi mahu atau berani untuk menegur kelakuan sumbang remaja kerana tidak mahu dianggap menjaga tepi kain orang pula terutama dalam kehidupan masyarakat moden kini. Kegagalan setiap ahli masyarakat untuk menjalankan tanggung jawab mereka untuk memberikan nasihat kepada remaja kita telah menyebabkan banyak remaja tersesat jalan lalu terbabit dalam pelbagai fenomena sosial yang menjejaskan imej rakyat negara ini juga. Jadi, masyarakat harus disedarkan tentang peranan mereka untuk sama-sama membantu remaja dengan memberi teguran dan sokongan kepada remaja dalam menyelesaikan pelbagai cabaran kehidupan yang melanda jiwa muda mereka itu.

Malah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru boleh digerakkan untuk bersama-sama menangani masalah kehidupan yang melanda golongan remaja itu. Kelebihan persatuan ini ialah gabungan idea dan kerjasama ibu bapa serta guru mampu menjadikan mereka lebih peka akan cabaran hidup yang dilalui oleh remaja itu. Perkongsian maklumat dan pengalaman antara dua pihak yang penting dalam merencanakan kehidupan remaja ini pasti berupaya untuk mencetuskan satu pendekatan yang bukan sahaja bersifat psikologi tetapi juga praktikal dalam menyelesaikan kemelut hidup remaja tersebut. Lantaran itu, persatuan ini perlu lebih proaktif dalam merangka pelan atau aktiviti yang turut mampu menjadikan kehidupan remaja lebih riang dan selesa diharungi bersama-sama.

Konklusinya, semua strategi yang diperhalusi di atas itu harus dilaksanakan dengan segera tanpa banyak alasan lagi. Kerjasama semua pihak terutama pihak ibu bapa dan sekolah amat diperlukan dalam menyelesaikan masalah yang bakal menentukan hala tuju negara kerana remajalah harapan pemimpin masa depan kelak. Kegagalan untuk menyelesaikan polemik ini secara rasional dan efektif akan menjadikan masyarakat kita pada masa hadapan satu masyarakat yang lemah dan tidak mampu untuk bersaing dalam arus persana globalisasi kini. Mahukah kita semua melihat remaja kita terus dibelenggu pelbagai masalah hidup tanpa kita melakukan apa-apa tindakan?

Jika karangan ini anda berasa bagus, bayangkan karangan yang bakal anda terima dengan membayar sedikit sahaja.

Perlukan lebih banyak karangan berkualiti, emel kepada saya azmanukm@gmail.com segera kerana banyak pakej pendidikan dan e-buku berkualiti saya sediakan dengan harga yang berpatutan.

Permalink Leave a Comment

Pakej Karangan Spot SPM 2009…

October 26, 2009 at 6:29 am (Uncategorized)

Pelajar semua

Saya sudah pun menyiapkan 10 tajuk karangan yang saya peroleh setelah membuat analisa skop-skop penting SPM tahun ini. Semua karangan ini disediakan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman luas dan disesuaikan dengan keupayaan pelajar untuk menulisnya.

Karangan ini bernilai RM5 satu tajuk dan hanya bernilai RM20 jika dibeli secara pakej. Maksudnya jika pelajar hanya berminat dengan satu tajuk daripada 10 yang dipaparkan dalam blog ini kosnya ialah RM5 untuk memperolehnya. Namun, jika pelajar berminat dengan kesemuanya, kosnya hanya RM20.

Karangan ini akan dihantar kepada pelajar setiap hari mulai 1 Oktober selama 10 hari jika membeli secara pakej.

Berminat emel saya: azmanukm@gmail.com

Karangan 1

Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

Karangan 2

Semangat perpaduan di negara ini dianggap begitu utuh tetapi sejak akhir-akhir ini sudah ada isu yang mampu menjejaskan perpaduan tersebut.

Jelaskan punca-punca yang boleh menjejaskan perpaduan ini untuk menjadi renungan kita semua.

Karangan 3

Bencana alam terutama banjir begitu kerap berlaku di negara ini terutama ketika musim hujan. Bukan sahaja harta benda musnah malah nyawa manusia turut melayang.

Jelaskan punca-punca yang membawa kepelbagaian bencana alam ini.

Karangan 4

Dunia mula mengalami kemeletan ekonomi dunia yang ketara. Pelbagai pihak mula mengadu kehilangan pekerjaan. Kerajaan telah mencadangkan supaya lebih banyak peluang perniagaan diwujudkan supaya mereka yang kehilangan kerja ini boleh membuatkan perniagaan mereka sendiri pula.

Jelaskan kebaikan-kebaikan bekerja sendiri.

Karangan 5

Pemuliharaan bangunan bersejarah atau lama di negara ini mula mendapat perhatian masyarakat setempat. Tindakan ini mungkin timbul akibat kesedaran untuk memastikan warisan sejarah negara terus hidup.

Nyatakan punca-punca yang menyebabkan bangunan lama atau bersejarah ini dimusnahkan begitu sahaja.

Karangan 6

Bahasa asing dikatakan penting dalam dunia kerjaya moden kini tetapi masih ramai yang mempertikaikannya.

Berikan pendapat anda tentang isu ini.

Karangan 7

Sistem pengangkutan awam negara telah mula diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Pelbagai langkah sudah dilaksanakan untuk memajukan lagi sistem pengangkutan awam itu.

Pada pandangan anda, apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk memajukan sistem pengangkutan awam di negara ini.

Karangan 8

Kerajaan berusaha menjadikan amalan membaca satu amalan masyarakat kita. Usaha mereka ini mula membuahkan hasil terutama dalam kalangan pelajar.

Namun, apakah kekangan-kekangan yang timbul dalam merealisasikan impian ini?

Karangan 9

Telefon bimbit sudah menjadi satu keperluan utama dalam kehidupan pelajar sehingga ada pihak yang menyarankan agar teknologi ini diharamkan penggunaanya di kawasan sekolah.

Jadi, apakah impak-impak negatif yang timbul daripada penggunaan teknologi ini.

Karangan 10

Isu pemanasan global sudah menjadi perkara lumrah kini. Pelbagai persidangan sudah diatur untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah kerjasama yang mampu dilakukan oleh pihak masyarakat antarabangsa dalam isu ini?

Anda juga boleh melayari blog ini selalu jika ingin mendapatkan bahan karangan yang berkualiti tetapi praktikal kepada pelajar.

Pendidikan hak semua.

Permalink 1 Comment

Karangan Kemusnahan Hutan Negara Akibat Pembalakan Haram?

October 26, 2009 at 6:28 am (Uncategorized)


Hutan negara kita semakin pupus lantaran sikap sesetengah masyarakat yang menjalankan aktiviti pembalakan terutama secara haram. Pelbagai usaha telah dilakukan tetapi masih gagal.

Jelaskan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan dalam menangani kemelut ini.

Sememangnya hutan negara sedang mengalami proses kemusnahan yang mahu hebat. Setiap hari akhbar akan menyiarkan kemusnahan hutan, hidupannya dan impak sampingannya seperti kejadian banjir serta tanah runtuh. Cuma, masyarakat masih belum menyedari dan mengambil pengajaran daripada berita-berita yang menyedihkan ini. Kerajaan pula memang mempunyai tanggung jawab besar untuk memastikan hutan negara terus wujud dalam tempoh 100 tahun akan datang dengan melakukan pelbagai langkah drastik.

Sebenarnya, tindakan yang paling mudah ialah kerajaan mewartakan semua kawasan hutan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal. Tindakan secara undang-undang ini memastikan kawasan hutan itu akan terus terpelihara tanpa ada usaha untuk menebangnya demi mengaut keuntungan jangka pendek. Peruntukan undang-undang turut memberi satu peringatan yang jelas bahawa kerajaan memang serius dalam usahanya untuk mengawal kemusnahan hutan yang merupakan khazanah tidak ternilai negara itu.

Tindakan ini dipanjangkan terhadap hukuman kepada pesalah yang memusnahkan hutan negara. Hukuman yang dikenakan haruslah lebih berat yang melibatkan hukuman penjara dan denda. Pesalah turut dimaklumkan kesalahannya di dalam media massa untuk memberi peringatan kepada masyarakat. Sikap tegas dan telus kerajaan dalam melaksanakan undang-undang memberi impak yang ketara dalam usaha menangani kemusnahan hutan.

Malah, kerajaan boleh mewajibkan semua pokok yang ditebang atas sebarang aktiviti ekonomi seperti projek perumahan, pembalakan, dan pembinaan empangan diganti secepat mungkin dalam kuantiti yang tertentu. Kerajaan boleh mengenakan syarat bahawa setiap pokok yang ditebang harus diganti dengan dua atau tiga batang pokok. Langkah ini akan menyebabkan semua ahli perniagaan berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk menjalankan sebarang projek atau berhati-hati dalam tindakan mereka menebang pokok yang berada di dalam kawasan projek mereka.

Langkah ini boleh dilanjutkan dengan menjalankan kempen kesedaran terutama dalam kalangan remaja. Pihak kerajaan seharusnya menjalakan kempen di sekolah-sekolah dengan menerangkan peri pentingnya hutan dalam ekosistem kita terutama ketika dunia sedang mengalami perubahan cuaca global ini. Remaja yang sudah memahaminya akan lebih bijak bertindak apabila mereka menjadi dewasa atau terlibat dalam projek pembangunan yang memerlukan satu kawasan hutan dimusnahkan. Lagipun, remajalah yang akan menjadi warisan hutan negara kita.

Selain itu, pasukan penguatkuasa terutama renjer hutan harus ditambah jumlahnya. Kawasan hutan yang terlalu luas agak sukar untuk dipantau oleh kaki tangan yang kecil bilangannya. Penggunaan teknologi seperti kapal terbang, satelit dan helikopter untuk tujuan pengawasan turut memudahkan kerja kerana kawasan hutan negara memang luas. Pengawasan yang cekap mampu memastikan kawasan hutan belantara kita tidak dicerobohi begitu mudah.

Kesimpulannya, masalah hutan negara memang serius dan semua pihak harus bertanggungjawab. Usah kita semua menuding jari tanpa mahu menerima atau mengakui kesilapan yang telah berlaku. Semua pihak harus duduk semeja dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut yang memang sukar diatasi ini. Tanpa kerjasama semua terutama masyarakat, hutan kita pasti akan lenyap.

Permalink Leave a Comment

Karangan Kebudayaan Penting Buat Masyarakat dan Negara Ini

October 22, 2009 at 2:07 am (Uncategorized)


Kebudayaan dikatakan komponen terpenting dalam diri seseorang itu dan negaranya. Negara kita memiliki pelbagai kebudayaan yang unik.

Pada pandangan anda, apakah kepentingan kebudayaan dalam kehidupan manusia.

Semua negara mempunyai kebudayaan mereka yang tersendiri dan berasa bangga akan kebudayaan itu. Begitu juga dengan negara kita yang memiliki pelbagai etnik dan sudah pasti kebudayaan yang berwarna-warni untuk dihayati oleh semua lapisan masyarakat. Masyarakat luar melihat kebudayaan negara ini begitu unik kerana tidak banyak negara dunia yang memiliki komposisi kaum yang serupa seperti Malaysia.Oleh itu, ada banyak kepentingan kebudayaan dalam sesebuah negara itu.

Kebudayaan berupaya menjadikan sesebuah masyarakat itu unik kerana setiap masyarakat memiliki amalan budaya yang tersendiri. Pengekalan sesuatu kebudayaan itu menjadi bukti bahawa masyarakat tersebut memandang tinggi akan budayanya lalu berusaha mengekalkannya dengan bersungguh-sungguh. Dalam masa yang sama, pengekalan ini menjadikan masyarakat itu terus unik kerana hanya mereka sahaja yang masih mengamalkan sesuatu amalan tersebut.

Pada masa yang sama, kebudayaan memberikan satu perasaan bangga akan kaum sendiri. Sikap bangga ini mampu memberikan satu semangat kepada sesuatu kaum itu untuk terus mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran globalisasi ini. Kehidupan moden yang penuh dengan kekeliruan identiti boleh menyebabkan mana-mana individu begitu mudah melupakan kebudayaannya. Jadi, kebudayaan boleh menjadi satu benteng yang menghalang berlakunya proses kehilangan kebudayaan dalam diri seseorang itu.

Malahan, kebudayaan yang diamalkan oleh seseorang mampu memberikan pandangan positif masyarakat luar akan individu tersebut. Pemakaian pakaian tradisional yang semakin dilupakan mampu memberikan tafsiran positif kepada orang luar apabila melihat seseorang itu masih memakai pakaian tradisinya. Orang luar melihat betapa kebudayaan negara ini diutamakan oleh ahli masyarakatnya menerusi amalan seharian yang mengutamakan kebudayaan pula. Jelaslah, kebudayaan mampu memberikan imej positif kepada masyarakat daripada kaca mata orang luar.

Kebudayaan juga boleh menjadi satu alat perpaduan yang mampu merapatkan hubungan antara kaum. Pengamalan sesuatu amalan budaya itu sudah pasti akan menimbulkan rasa akrab dan kesatuan yang mendalam dalam setiap jiwa manusia. Makanan tradisi, pakaian tradisi, budaya lama dan perayaan tradisi semuanya memberikan satu perasaan kekitaan yang mendalam dalam jiwa individu tertentu. Jelaslah, kebudayaan mampu mengukuhkan semangat perpaduan antara masyarakat terutama dalam negara yang berbilang kaum ini.

Pemilikan kebudayaan yang mendalam turut memberikan impak positif kepada tahap nasionalisme dalam diri masyarakat. Kebudayaan biasanya dikaitkan dengan perasaan cinta akan negara yang mendalam dan kebudayaan juga boleh menjadi alat yang mampu memupuk semangat nasionalisme ini. Masyarakat semakin sanggup mempertahankan negaranya kerana mereka sedar merekalah pelindung kepada keseinambungan kebudayaan yang sejati. Maka, kebudayaan boleh meningkatkan tahap cinta akan negara seseorang itu dengan begitu mudah.

Kesimpulannya, kebudayaan itu merupakan satu komponen penting dalam sesuatu kaum atau masyarakat. Kegagalan mengangkat martabat kebudayaan ini boleh membawa impak negatif kepada pembangunan kaum itu secara keseluruhannya. Kebudayaan juga boleh menjadi satu-satunya pengenalan diri yang amat bermakna buat seseorang itu. Bayangkan diri kita tanpa kebudayaan?

Permalink Leave a Comment

Karangan SPM ..Peranan Persatuan Pengguna di Malaysia?

October 18, 2009 at 10:02 am (Uncategorized)


Saban tahun kita membaca berita mengenai pengguna yang tertipu akibat kerakusan peniaga. Keadaan ini menyebabkan kita terfikir apakah peranan persatuan pengguna dalam menangani masalah pengguna di negara ini.

Isu kenaikan barang-barang mula mendapat perhatian media massa terutama selepas kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja kerajaan. Berita kenaikan harga barang mula dipaparkan dan pelbagai tindakan telah dilakukan terutama oleh kerajaan untuk membanterasnya. Ada yang berjaya dan ada juga yang hanya cakap-cakap sahaja. Cuma, kita tertanya-tanya mengenai peranan persatuan pengguna dalam kemelut yang semakin mencengkam rakyat ini.

Dalam menangani situasi negatif ini persatuan pengguna perlulah menjelaskan dan menerangkan hak serta kepentingan pengguna dengan lebih mendalam. Persatuan pengguna boleh menjalankan kempen yang menjelaskan betapa pentingnya pembeli berbelanja dengan bijak. Penerangan ini mampu menyedarkan sebilangan penngguna yang akan memastikan mereka hanya membeli keperluan yang penting. Kempen penerangan ini seeloknya dijalankan dalam kalangan pelajar terutama pelajar sekolah.

Tambahan pula, persatuan pengguna boleh mendedahkan kepincangan dan penipuan yang dilakukan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Nama-nama peniaga ini boleh didedahkan di dada akhbar atau media massa yang lain untuk makluman orang ramai. Maklumat seperti ini mampu membantu pengguna untuk berbelanja dengan bijak kerana mereka sudah pasti tidak mahu ditipu oleh peniaga jenis ini.

Selain itu, pengguna yang mempunyai masalah dengan peniaga setelah membeli produk atau barang mereka boleh merujuk kepada persatuan pengguna. Kini, semakin banyak kes pengguna ditipu oleh peniaga tetapi pengguna tidak tahu tempat untuk mengadu. Kehadiran persatuan pengguna dalam memberi nasihat kepada pengguna untuk mengambil langkah susulan menangani masalah mereka amatlah besar kesannya. Keadaan ini menyebabkan nasib pengguna terbela.

Tambahan pula, kewujudan persatuan pengguna memastikan adanya “pemerhati” senyap antara pengguna dan peniaga. Maksudnya peniaga akan lebih berhati-hati sebelum cuba menipu pengguna kerana sedar setiap tindakannya akan dipantau oleh persatuan pengguna. Dalam masa yang sama pengguna pula berasa nasib mereka menerima pembelaan yang sewajarnya. Jadi, kewujudan persatuan pengguna akan memastikan keadaan pasaran sentiasa dalam keadaan baik kerana semua pihak sedar ada pihak ketiga yang memerhatikan keadaan pasaran ekonnomi negara.

Malahan, persatuan pengguna boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri. Persatuan pengguna boleh menubuhkan koperasi atau syarikat yang mampu menjual produk kepada pengguna dengan harga yang lebih murah. Kemahiran persatuan pengguna dalam perkara meletakkan harga barang sudah pasti memudahkan mereka menjual produk tanpa masalah. Koperasi atau kedai ini boleh dijadikan satu rangkaian di seluruh negara untuk memudahkan masyarakat.

Ringkasnya, persatuan pengguna mempunyai tanggungjawab yang besar dan penting di negara ini. Kewujudannya telah menyebabkan kita sebagai pengguna berasa selamat dan peniaga pula lebih berhati-hati. Cuma sejauh manakah keberkesanan persatuan ini yang masih belum terjawab. Mungkin persatuan pengguna harus mencari jalan yang lebih berkesan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pengguna sekarang.

Permalink Leave a Comment

10 Skop Karangan SPM 2009…Pakej Pendidikan Baru Saya

October 15, 2009 at 11:20 am (Uncategorized)

Berdasarkan perbincangan dengan rakan-rakan pendidik lain, saya telah membuat kesimpulan beberapa skop soalan karangan yang berguna kepada pelajar SPM tahun ini. Ada 10 skop yang sudah saya analisakan dan setiap satu skop itu sudah saya siapkan untuk tatapan pelajar.

Pakej ini akan bermula pada 31 Oktober sehingga 10 November. Setiap hari pelajar akan diberikan sebuah karangan yang sudah siap itu untuk memudahkan mereka membuat persiapan dalam tempoh tersebut.

Skop:

1)Simpanan dan tabungan
2)Perpaduan kaum di negara ini
3)Isu alam sekitar dan bencana alam
4)Isu kemelesetan ekonomi
5)Memuliharan warisan budaya negara
6)Bahasa asing?
7)Sistem pengangkutan
8)Amalan membaca
9)Kesan alat komunikasi
10) Pemanasan Global

Kos pakej ini hanya RM20 sahaja.

Sesiapa yang berminat sila emel kepada saya: azmanukm@gmail.com

Permalink Leave a Comment

Ramalan SPM…Skop Ekonomi Berkaitan Pendatang Asing?

October 13, 2009 at 2:22 am (Uncategorized)

Kebanjiran pekerja asing di negara ini begitu menakutkan kita semua. Jumlah pekerja asing dikatakan mencecah angka jutaan orang.

Apakah punca-punca dan kesan-kesan negatif kedatangan pekerja asing ini.

Negara ini dikatakan syurga buat rakyat asing untuk mencari rezeki terutama dari Indonesia, Nepal, Myammar dan Vietnam. Kehadiran mereka bukan dalam ratusan tetapi dalam jutaan orang yang memenuhi seluruh pelosok negara. Kehidupan pekerja asing ini juga telah menjadi satu trend dalam penyiaran berita di dalam media massa yang mampu memberikan satu pandangan tentang kepentingan mereka dalam kehidupan masyarakat kita sekarang. Oleh itu, kefahaman tentang punca-punca kehadiran mereka dan kewujudan pelbagai kesan negatif akibat kemunculan mereka harus diteliti.

Punca ketara yang mendorong pekerja asing meredah lautan dan daratan datang ke negara ini ialah keadaan ekonomi di negara mereka yang jauh berbeza daripada pertumbuhan positif ekonomi yang dialami oleh negara kita. Keadaan ini menyebabkan peluang kerja yang begitu banyak di negara ini mendorong mereka hadir dengan begitu ramai. Negara mereka yang tiada mempunyai prospek ekonomi menyebabkan kehidupan susah tetapi jika mereka datang ke negara ini kemungkinan untuk mereka mendapat kerja dan berjaya dalam hidup masih ada. Jadi, keadaan ekonomi yang berbeza antara Malaysia dengan negara mereka membawa mereka sanggup merantau ke sini.

Dasar kerajaan kita yang membuat perjanjian dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Bangladesh dan juga Myammar untuk memudahkan kehadiran rakyat negara itu ke sini telah mendorong kehadiran mereka. Sikap terbuka kerajaan menerima kedatangan pekerja asing ini menjadikan Malaysia salah satu destinasi yang penting untuk penghijrahan manusia mencari kerja. Wujud pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak Malaysia dan negara mereka seperti pemeriksaan kesihatan dan pemberian permit kerja menjadikan negara ini syurga buat mereka. Maka, dasar kerajaan yang terbuka terhadap pengambilan pekerja asing telah menyebabkan mereka sanggup datang ke sini.

Namun dalam masa yang sama dasar mengutamakan pekerja asing ini telah membuatkan peluang kerja kepada masyarakat tempatan terutama golongan muda agak terhad. Salah satu kelebihan pekerja asing ialah kadar gaji yang lebih rendah daripada pekerja tempatan dan keadaan ini sudah pasti lebih diminati oleh majikan yang mengutamakan keuntungan sahaja. Persaingan yang tidak sihat ini menjadikan rakyata tempatan tidak mempunyai kerja tetapi penduduk negara lain pula yang dapat mencari rezeki di negara ini. Jelaslah, kehadiran pekerja asing menyebabkan banyak peluang kerja kepada penduduk tempatan tertutup.

Ada juga pihak yang mengaitkan kehadiran pekerja asing dengan peningkatan kadar jenayah terutama di kawasan bandar. Walaupun maklumat ini sukar untuk dipastikan kebenarannya tetapi keadaan pekerja asing yang tidak mempunyai apa-apa itu memungkinkan mereka terjebak dalam kegiatan jenayah memang tidak boleh diragukan. Sudah menjadi lumrah manusia bahawa pasti ada segelintir ahli masyarakat yang bertindak di luar batas perundangan termasuklah dalam kalangan pekerja asing ini kerana setiap manusia mempunyai masalah peribadi tersendiri. Lantaran itu, peningkatan jenayah di negara ini sering dikatakan berpunca daripada jumlah pekerja asing yang terlalu ramai itu.

Salah satu impak negatif yang paling besar pengaruhnya ialah pengaliran keluar wang negara kerana setiap bulan jutaan ringgit dihantar kepada keluarga pekerja asing yang tinggal di negara asal mereka. Penghantaran wang gaji yang sepatutnya digunakan untuk memajukan ekonomi dalam negara telah digunakan pula untuk menghidupkan ekonomi negara asal mereka yang sudah lembap pertumbuhan ekonominya itu. Lama-kelamaan negara akan mengalami masalah besar kerana wang yang dihasilkan di negara ini digunakan untuk menyokong aktiviti kehidupan masyarakat di negara yang lain pula. Oleh itu, semakin ramai pekerja asing di sini semakin banyaklah wang negara mengalir keluar begitu sahaja setiap bulan.

Kesimpulannya, isu pekerja asing ini perlu menggunakan satu kaedah yang lebih telus dan sistematik. Penerimaan pekerja asing hendaklah dilakukan dalam sektor-sektor ekonomi yang tidak lagi diminati oleh pekerja tempatan dan satu had masa dikenakan kepada setiap pekerja asing untuk bekerja di negara ini. Kerajaan juga perlu menyediakan satu badan khas yang mengawasi setiap perkembangan pekerja asing ini seperti membuat laporan akan keperluan mereka setiap 3 bulan sekali. Kita memang memerlukan pekerja asing tetapi rakyat tempatan harus diutamakan terlebih dahulu.

Permalink Leave a Comment

Next page »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.