Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih

May 21, 2006 at 2:07 pm (Uncategorized)


Tadi saya menghadiri majlis pelancaran buku sebuah syarikat yang kebetulannya berhasrat untuk menerbitkan novel saya. Majlis itu berlangsung di Pusat Beli-Belah Alpha Angel, Wangsa Maju. Ramai juga penulis dan pengunjung pusat beli-belah itu yang menghadirinya. Saya hanya duduk dan mendengar satu demi satu ucapan yang diberikan oleh tetamu undangan pada majlis itu. Semuanya memberikan pendapat mereka tentang peri pentingnya menghasilkan buku.

Tiba-tiba mata saya terpandang wajah seseorang. Wajah yang seolah-olah pernah saya tatap. Wajah itu begitu biasa saya lihat. Saya merenung wajah itu lama-lama. Satu senyuman mula terbina. Satu ungkapan mula terhasil. Saya sudah biasa mendengar ungkapan itu. Memang sudah biasa.

“Apa khabar cikgu? Masih ingat saya? suara lelaki itu bertalu-talu menyentap diri saya ini. Saya hanya mengangguk dan mengangguk. Saya semakin jelas mengenali wajah ini. Wajah yang sudah bertahun-tahun meninggalkan diri saya. Saya sudah mengenalinya sekarang.

Ketika itu saya baru beberapa tahun berkecimpung dalam bidang perguruan ini. Biasalah, orang muda mesti mempunyai semangat yang tinggi dan sudah pasti pernah melakukan kesilapan. Saya juga tidak lari daripada kesilapan itu. Saya tersenyum sendirian. Tersengih-sengih. Betul-betul macam kerang busuk.

Kelas di dewan 3 itu memang saya suka kerana keadaanya yang terang dan tidak ramai pelajar yang memasuki kelas BM saya itu. Macam biasa saya akan mengajar dan menerangkan pelajaran sepenuh hati tetapi entah kenapa hari itu, saya tertarik kepada seorang pelajar lelaki keturunan cina yang masuk lewat hari itu. Dia nampak keletihan. Dia tergesa-gesa membuka beg dan mengeluarkan notanya. Pelajar-pelajar lain menyedari perhatian saya itu.

“Lain kali jangan lambat, ok! kata saya kepada pelajar itu. Dia hanya menunduk kepala berulang kali. Pelajar-pelajar lain mula memandang ke arah pelajar cina itu. Dia kelihatan malu kerana menjadi perhatian hari itu. Saya meneruskan pengajaran seperti biasa. Sekali-sekala saya memandang ke arahnya lagi. Nampak dia sedang menulis dan mendengar dengan tekun.

Selesai sahaja kelas, saya terus ke bilik guru (bangunan lama). Belum sempat saya masuk, mata saya tersua lagi pelajar lelaki cina itu. Dia sedang menelaah di hujung bilik darjah yang bertentangan dengan bilik guru. “Tak ada kelas lagi? tanya saya. Dia berjawab tidak ada. Saya memandangnya lama sebelum masuk ke bilik guru.

Esoknya, selepas habis kelas pertama, saya kembali ke bilik guru. Sekali lagi saya ternampak pelajar yang sama. “Hey, kamu tak ada tempat lain ke nak belajar? Asyik guna tempat ini saja? tanya saya bertalu-talu. “Tak ada cikgu,” jawab pelajar itu ringkas. Di hadapannya kelihatan buku teks dan latihan Matematik. Pelajaran yang sukar saya fahami sehingga sekarang.

“Rumah tak ada? Saya terus bertanya seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan pelajar itu. Pelajar itu merenung saya lama-lama. Tiada jawapan. Saya berasa rimas. Saya terus ke bilik guru. Malas nak layan, kata hati saya ini. Baik buat kerja sekolah.

Namun, setelah saya habis kelas pada petang itu, pelajar lelaki tadi telah menunggu saya di depan bangunan. Dia meminta saya mngikutnya. Katanya dia ada sesuatu yang ingin dijelaskan. Entah mengapa saya terus mengikutinya tanpa banyak soalan. Semakin lama berjalan, semakin jauh saya meninggalkan bangunan tempat saya mengajar itu. Mungkin jaraknya sudah melebihi satu kilometer.

Dia membawa saya menaiki tangga sebuah rumah kedai yang biasa. Di bawah ada kedai dan di atas ada rumah. Kiri kanan kawasan itu penuh dengan pelbagai jenis kedai. Antaranya kedai membuat roti. Jenama roti itu agak terkenal juga. Saya pernah membeli roti jenama itu daripada penjual roti yang datang ke kawasan rumah saya.

Tangga yang membawa saya dan dia itu agak gelap. Dindingnya juga agak kotor dengan tulisan. Semakin lama semakin terang kerana ada cahaya lampu.”Inilah rumah saya cikgu,” katanya. Kali ini nadanya agak sayu. Hati saya mula sebak. Hanya ada satu bilik sahaja yang saya nampak. Tidak ada kerusi di ruang tamu yang jauh lebih kecil daripada ruang tamu rumah saya. Sebenarnya tiada apa-apa di rumah itu. Kosong.

“Ayah dah tak ada, jadi mak kena kerja. Saya pula lepas sekolah cuba tolong di warung tepi pejabat pos itu. Itu sebab saya lambat masuk kelas cikgu,” suaranya semakin mendayu sayu. Air mata saya mula bergenang tetapi saya cuba menenangkan perasaan. “Adik-beradik pula ramai. Jadi, susah nak belajar di rumah,” tambahnya. Saya hanya tunduk sayu. Timbul rasa bersalah kerana menegur agak kasar tempoh hari.

“Cikgu, saya Chow. Saya belajar dengan cikgu dulu kat Pudu, tak ingat? Perkenalnya. Saya mula terdengar suara ucapan tetamu yang dijemput di dalam majlis pelancaran buku itu. “Ya, ya, saya ingat. Anda buat apa sekarang? balasku. “Saya sudah habis belajar di UM, cikgu. Saya baru saja bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan di sini. Baru minggu lepas mula kerja,” tambahnya dengan bangga. Kami berbual panjang. Terlalu panjang. Manakala, majlis pelancaran buku tadi terus hilang daripada pendengaran saya.

Ketika berada di dalam LRT PUTRA, saya duduk termenung sejenak sambil memikirkan bekas pelajar saya itu tadi. Sesungguhnya, banyak perkara yang boleh saya pelajari daripada dia. Erti kesungguhan, pengorbanan, dan mungkin kematangan dalam hidup pada usia muda.

Di depan saya pula ada seorang pelajar yang sedang menggunakan telefon bimbitnya.Jenis Nokia. Mahal harganya. Saya tersenyum lagi. LRT pula terus meninggalkan stesen Wangsa Maju.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: