Belajar daripada Bola Sepak Piala Dunia

June 9, 2006 at 12:37 pm (Uncategorized)


Demam bola sepak sudah bermula. Ramai pelajar mengeluh kerana saya sepanjang bulan Piala Dunia ini tidak akan membuat sebarang kelas tambahan. Ada yang tidak percaya bahawa saya begitu meminati bola sepak. Sememangnya, saya kaki bola. Namun, saya menulis kali ini bukan semata-mata tentang bola sepak tetapi perkara yang kita boleh belajar daripada sukan yang paling popular di dunia ini.

Satu perkara yang saya kagum apabila menonton bola sepak ialah kemahiran seseorang pemain untuk mengawal, menyepak, dan menjaringkan gol dalam satu sentuhan yang ajaib. Bagaimana pemain-pemain ini mampu melakukan semua perkara itu? Sudah pasti mereka terpaksa berlatih berjam-jam di padang bola. Sudah pasti berpuluh-puluh kali mereka menyepak bola itu. Sudah pasti mereka berlari hujung ke hujung padang berulangkali. Sudah pasti mereka keletihan.

Sedihnya, ada pelajar yang menganggap untuk berjaya dalam peperiksaan, mereka hanya memerlukan soalan panas atau soalan bocor. Mereka sering bertanya kepada saya tentang soalan bocor. Malah, ketika peperiksaan penggal, saya sering menerima panggilan telefon dan emel saya penuh dengan satu pertanyaan…”mana soalan bocor????”. Adakah Beckham, Zidane, atau Ballack mempunyai sepakan bocor juga untuk berjaya? Pastinya usaha mereka berlatih yang gigih.

Satu lagi konsep yang saya sanjungi dalam sukan ini ialah mereka sanggup bekerjasama (walaupun ada yang anggap gila kerana mengejar bola selama 90 minit. Ada penjaga gol, pertahanan, pemain tengah, dan penyerang. Pasukan yang berjaya ialah pasukan yang keempat-empat komponen ini berfungsi menjadi satu entiti yang mampu mempertahankan gol mereka dan menjaringkan gol di pintu gol lawan pula. Jadi, apakah pengajaran kepada pelajar dalam aspek ini?

Mudah sahaja iaitu ketika belajar, pelajar memerlukan satu pasukan. Ahli dalam pasukan ini saling menolong. Ahli pasukan menyedari tugas mereka. Ada yang membaca bab ini, ada yang membaca bab itu dan ada yang menjelaskan sesuatu perkara kepada kawannya yang kurang jelas. Kumpulan belajar menjadi cara yang paling mudah dan efisien untuk memastikan pelajar memahami semua bab dalam sesuatu subjek itu.

Semua pasukan yang bermain dalam Piala Dunia 2006 mempunyai matlamat untuk menjuarai Piala Dunia idaman semua negara. Semua pasukan mempunyai peluang yang sama. Semua pasukan akan berjuang hingga ke titisan peluh akhir mereka untuk mengalahkan pasukan lawan. Memang pasukan Brazil, Jerman, Itali, Belanda, dan Argentina menjadi negara calon utama untuk berjaya tetapi mungkin juga Costa Rica atau Ghana atau mungkin Korea Selatan akan menyimpan piala itu kali ini. Pasti, mereka akan bersaing habis-habisan.

Pengajaran kepada pelajar? Adakah anda berjuang habis-habisan untuk peperiksaan anda? Untuk SPM 2006? Kenapa tidak berjuang? Rasa anda tidak berdaya saing atau mampu melakukannya? Tengok diri dan bandingkan dengan kawan anda yang sering berjaya dalam peperiksaan itu. Apa yang dirinya ada yang ada tidak miliki? Tangan, kaki, mulut dan semuanya cukup. Anda cuma tiada semangat untuk berjuang habis-habisan. Korea Selatan membuktikan daya juang yang tinggi dalam Piala Dunia 2002. Siapa sangka negara Asia yang kerdil itu mampu melakukannya di peringkat dunia. Betul tak?

Akhir sekali, Piala Dunia 2006 membawa satu impian. Semua orang berhasrat untuk bermain dan pergi ke sana. Semua orang mahu negara mereka beraksi di kejohanan itu (Malaysia boleh ke?. Kejayaan ke Jerman bermakna, mereka telah mencapai sesuatu. Sesungguhnya, bukan semua negara berjaya masuk ke pusingan akhir Piala Dunia, apatah lagi memiliki piala yang unik ini.

Natijahnya kepada pelajar? Tidakkah anda teringin ini mencapai sesuatu dalam hidup? Sesuatu yang boleh dibanggakan oleh diri anda dan mungkin keluarga serta kawan-kawan anda. Berjaya dalam peperiksaan SPM merupakan satu idaman yang bukan semua orang mampu mencapainya. Berusaha ke arah kejayaan dalam SPM dan memperoleh kejayaan adalah satu perasaan yang sukar dilupakan sama seperti menjuarai piala dunia (mungkin piala dunia lebih menarik…ha,ha).Jadi, pelajar anda harus mempunyai impian untuk menjuarai SPM 2006.

Saya terpaksa berhenti sekarang kerana pasukan Jerman akan menentang Costa Rica sebentar lagi. Pasukan kegemaran saya ialah Jerman. Kenapa Jerman? Kerana pasukan ini bersistematik, semangat berpasukan yang jitu, berusaha hingga ke minit akhir, dan bangga dengan keupayaan diri mereka sendiri. Hidup Jerman dan moga-moga Malaysia akan berjaya menjejak kakinya ke kejohanan ini. Itu impian saya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: