Antara lebuh raya, motosikal, dan kesesakan

January 1, 2007 at 4:05 pm (Uncategorized)

Saya berada di lebuh raya ketika cuti tahun baru dan hari raya korban yang lalu. Biasanya mood saya ketika di jalan raya tidak baik. Kenapa mood saya tidak baik?Saya tidak suka kesesakan lalu lintas. Setiap kali saya tersangkut, pelbagai ungkapan tidak ‘sihat” keluar dari mulut ini. Malah, orang yang berada disamping atau mendengarnya pasti terkejut melihat sikap saya itu. Yalah, cikgu Azman mengunakan perkataan #*#*#*

Namun, saya rasa kesesakan di lebuh raya disebabkan oleh pemandu kenderaan itu sendiri. Biasanya mereka tidak mahu menunggu giliran sebaliknya lebih suka memotong dengan menggunakan lorong kecemasan. Keadaan ini sudah pasti akan menganggu kelancaran trafik apabila mereka cuba memasuki lorong biasa semula. Kadangkala saya berdoa kepada tuhan semoga ada polis trafik menunggu di hujung lebuh raya itu untuk memberikan saman kepada mereka yang tergesa-gesa ini.

Bukan sahaja mereka memandu dengan tidak mengikut peraturan, malah ada yang memandu laju walaupun menyedari hari hujan atau jumlah kenderaan terlalu banyak. Mereka memandu gaya pemandu F1 tetapi tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan F1. Masuk ke kiri dan ke kanan lorong tanpa memberi isyarat atau secara kilat sehingga menganggu pemandu lain yang berhemah cara pemanduannya.

Malah, tadi di lebuh raya ada sekumpulan penunggang motosikal yang “cilok” punya cantik antara kenderaan sehingga mampu menganggu perjalanan darah ke jantung saya. Penunggang motosikal ini biasanya kalau berlaku kemalangan sering menyalahkan pemandu kenderaan berat tanpa menyedari mereka yang memulakan kemalangan itu.

Lebuh raya bermasalah? Tidak di perhentian rehat pun sama. Pemandu di negara ini memang patut diberi gelaran juara “parking’ dunia. Mana-mana tempat mereka boleh parking walaupun sekangkang kera luasnya tempat itu. Lantas, kereta yang hendak keluar atau masuk terganggu dan menunggu sehingga kereta itu keluar. Bukankah ini mementingkan diri namanya. Ada juga pemandu yang tidak menghiraukan orang lain dengan sengaja membiarkan kereta mereka apabila mereka bergegas ke tandas.

Keadaan di tempat makan turut tidak kurang hebatnya. Masing-masing berebut-rebut untuk menghilangkan rasa haus dan kelaparan tanpa ada rasa tanggungjawab. Ketika membayar mereka sering memotong barisantanpa sebarang ungkapan maaf. Manakala keadaan meja dan lantai agak kotor terutama apabila jumlah pengunjung terlalu ramai berbanding pekerja yang bertugas untuk membersihkannya. Lalat seperti raja di kawasan ini.
Pernah pergi ke tandas ketika hari raya atau cuti umum? Rasanya semua sedar betapa panjangnya barisan terutama di tandas wanita. Saya hanya sempat menoleh sekejap. Mungkin tandas wanita harus lebih luas berbanding dengan tandas lelaki. Rasa kasihan turut saya halakan kepada pengguna bas ekspres kerana mereka terpaksa menggunakan masa yang terhad untuk membeli makanan, ke tandas dan berehat sekejap. Bayangkan.

Saya banyak komen? Sudah pasti pelajar akan menjawab, Cikgu Azman ini Malaysia dan memang begitu keadaannya. Namun, kita seharusnya berubah. Mentaliti kita perlu berubah paradigmanya. Bukan sahaja berbangga mempunyai bangunan yang tinggi, lapangan terbang yang luas dan pusat pentadbiran yang lengkap tetapi mentaliti yang selaras dengan perubahan zaman. Mentaliti sekarang ialah kita harus mengutamakan hak orang lain seperti kita utamakan hak kita sendiri.

Mentaliti zaman sekarang memerlukan semua pihak memberikan kerjasama. Pihak polis mengawasi perjalanan lebuh raya. Pengusaha tol pula memastikan kemudahan dan kelancaran kenderaan berjalan baik. Pengguna pula mematuhi peraturan dan memandu secara berhati-hati. Barulah perjalanan di lebuh raya lebih baik dan lancar serta kemalangan mampu dikurangkan. Ini tidak semua buat hal sendiri.

Maksud saya, kalau kita hendak melakukan semua perkara itu, boleh. Cuma kalau orang lain melakukan perkara yang sama kepada kita, janganlah “hon” mereka bagai nak gila atau memarahi mereka sebagai tidak bertanggungjawab kerana kita pun sama. Atau mungkin kita hanya menggunakan peraturan tertentu apabila perkara itu tidak melibatkan kesalahan diri kita dan tidak menggunakan peraturan itu apabila kesalahan itu dilakukan oleh kita.

Atau mungkin ketika cuti umum, kita semua duduk di rumah. Biar lebuh raya kosong. Satu cadangan yang baik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: