Karangan Kebaikan Kerahan Tentera di negara ini

November 9, 2008 at 3:47 am (Uncategorized)

Kerahan tentera menjadi alat penting dalam perpaduan negara.

Huraikan kebaikan-kebaikan mewajibkan kerahan tentera terhada remaja.

Kerahan tentera menjadi satu pilihan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia. Sejak konsep ini mula dicanangkan menerusi media massa oleh pemimpin-pemimpin negara, pelbagai komentar telah diutarakan oleh pelbagai pihak. Sudah pasti ada yang menganggap langkah ini satu pembaziran dan sudah pasti ada yang melihatnya sebagai satu prospek yang boleh diteroka secara mendalam. Jadi, apakah impak-impak positif yang boleh ditimbulkan oleh kerahan tentera ini kepada remaja di negara ini?

Impak yang paling jelas sudah pasti aspek disiplin remaja akan mengalami perubahan yang ketara. Kita sudah sedia maklum bahawa remaja terkenal dengan sikap mereka yang tidak suka mematuhi peraturan atau arahan tetapi dengan melibatkan diri dalam kerahan tentera remaja kita tiada pilihan lain. Kalau dahulu arahan ibu bapa boleh dipandang enteng tetapi arahan pegawai tentera sudah pasti akan membawa hukuman yang berat jika diingkari. Oleh itu, remaja akan mematuhi peraturan secara terpaksa pada awalnya tetapi lama kelamaan menjadi kebiasaaan pula.

Selain itu, masalah jenayah yang sering dikaitkan dengan remaja juga akan terhapus dengan sendirinya. Penghapusan kes jenayah ini berkait dengan kesukaran untuk remaja bergaul dengan kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungajwab kerana mereka tidak mempunyai masa untuk lepak bersama mereka. Ilmu ketenteraan yang mereka terima juga menekankan aspek pentingnya menjauhkan diri daripada tindakan-tindakan yang boleh memberi masalah terutama jenayah. Oleh itu, kerahan tentera bukan sahaja memastikan remaja mempunyai disiplin tetapi tidak melibatkan diri mereka dalam kancah jenayah.

Negara kita akan memiliki satu bala tentera yang berkaliber dan ramai. Kerahan tentera memastikan negara mampu memilih lapisan generasi muda untuk menyertai tentera dengan mudah kerana ada antara remaja yang menyertai kerahan tentera ini akan menyertai tentera tetap selepas tamat tempoh perkhidmatan mereka. Kerahan tentera menyebabkan remaja kita mempunyai peluang kerjaya kerana tentera kita boleh memilih remaja yang terbaik dalam setiap bahagian untuk menyertai pasukan keselamatan negara. Jelaslah, kerahan tentera memberi peluang untuk meningkatkan kewibawaan tentera kita secara amnya.

Tambahan pula, hubungan antara kaum turut terjalin kerana kerahan tentera memastikan tiada sebarang batasan dalam perbedaan kaum diamalkan. Semua remaja yang menyertai kerahan tentera harus melakukan tugasan yang sudah ditetapkan tanpa sebarang diskriminasi. Tempoh kerahan tentera yang lama antara 2-3 tahun menyebabkan berlakunya interaksi antara remaja pelbagai kaum yang mengikat mereka selepas meninggalkan kerahan tentera. Sesungguhnya, semangat perpaduan wujud akibat kerahan tentera kerana semua kaum akan berinteraksi sesama mereka.

Kesimpulannya, kerahan tentera berupaya membentuk seseorang remaja yang memiliki jati diri yang tinggi nilainya. Negara yang mempunyai remaja seperti ini sudah pasti mampu mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan yang timbul kemudiannya. Cuma konsep kerahan tentera itu sering dipandang serong oleh masyarakat. Mungkinkah sudah sampai masanya masyarakat merombak semula paradigma lama mereka ini? ‘Tepuk dada tanya selera’.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: