Ibu bapa zaman ini penting memahami kefahaman erti pendidikan azali

December 1, 2008 at 12:50 am (Uncategorized)


Ibu bapa penting dalam menentukan hala tuju pendidikan negara

Saya menyokong benar pandangan seorang pembaca dalam akhbar The Star yang menganggap bahawa pendidikan zaman sekarang harus menekankan aspek mendidik dan bukannya menghasilkan pelajar kategori A yang menghafal sahaja. Huraian beliau tentang pengalamannya menunggu keputusan UPSR anak perempuannya begitu menarik dan melucukan dalam satu segi lain. Dalam hati saya ucapkan tahniah buat si ayah itu kerana saya percaya beliau memahami erti pendidikan sebenar.

Sebagai seorang guru, saya mengaku saya pernah didatangi oleh beberapa ibu bapa yang seolah-olah ‘memberi kata dua’ kepada saya seperti ‘Cikgu azman, saya tak mahu C,B tapi A untuk anak saya”, “Saya mahu cikgu beri latihan banyak-banyak sampai anak saya berjaya” dan sebagainya. Malah, ada ibu bapa yang pelik juga dalam memastikan anak mereka berjaya ini dengan pelbagai permintaan yang saya rasa tidak sesuai ditonjolkan di ruangan ini.

Perlu difahami di sini bahawa saya bukannya menentang pelajar rajin belajar tetapi saya berpendapat setiap pelajar ada kelebihan dan kekurangannya. Ada yang bagus dalam pelajaran dan tidak kurang yang mahir dalam bidang lain terutama kesenian dan kemahiran teknologi. Perkara yang ingin saya tekankan ialah pendidikan di sekolah, kolej, dan univerisiti bukan kilang menghasikan manusia yang hanya tahu A bererti kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Itu kepercayaan saya.

Jadi, berbalik kepada ibu bapa tadi, saya berpendapat ibu bapa mempunyai beberapa kriteria yang menjadikan mereka ini suka memaksa anak mereka menjadi anak kategori A. Pertama, ibu bapa ini jenis yang tidak memahami keperluan emosi atau peribadi anak mereka sendiri. Bayangkan ada ibu bapa yang bersama-sama anak mereka 24 jam sejak dilahirkan masih tidak tahu perkara yang dihajati oleh anak merea untuk hadiah hari jadi? Ya, saya pernah didatangi oleh seorang ayah yang bertanyakan saya tentang hadiah yang patut diberikan kepada anaknya. Saya hanya mengerutkan dahi kepala saya. Keliru.

Kedua, kategori ibu bapa yang ingin menebus kegagalan atau ketidakupayaan mereka dahulu ketika bersekolah. Ibu bapa jenis ini sering menekankan betapa mereka dahulu kurangan wanglah, peluang dan sebagainya untuk belajar. Kini, anak mereka menjadi mangsa untuk meneruskan atau menyambung semula impian mereka itu. Jadi, kalau anak ingin menjadi pelukis, pasti akan diherdik bukan-bukan tetapi kalau si anak mahu menjadi akauntan bertauliah diberi semua keperluan peperiksaan. Menarik.

Kategori ketiga ialah ibu bapa yang suka bersaing dengan jiran mereka. Inilah kategori yang paling saya benci kerana kategori ini sering berlumba-lumba dan memaksa anak mereka dengan begitu ketara. Kejayaan anak jiran pasti menjadi berita hangat dalam setiap tajuk perbualan keluarga kategori ini. Si anak hanya tunduk mendengar sahaja tetapi saya percaya dalam hati mereka penuh dengan rasa meluat dan bosan.Sedihkan.

Jadi, apa jalan menyelesaikannya. Pertama, ibu bapa harus menerangkan kepentingan pendidikan dalam hidup. Ya, ibu bapa boleh gunakan kesengsaraan atau kegagalan mereka dahulu sebagai satu contoh tetapi hanya sebagai contoh sahaja. Penerangan sebegini menjadikan si anak lebih rela mendengar dan cuba memahami sebab si ayah atau si ibu sering memaksa mereka belajar dengan tekun.

Kedua, ibu bapa harus memahami kelebihan dan kekurangan anak mereka. Selalu lihat tindakan-tindakan tersirat yang muncul seperti sikap si anak yang suka bercerita tentang sesuatu subjek itu atau kemalasan anak untuk melakukan sesuatu kerja sekolah. Apabila sudah diketahui bawa berbincang dengan si anak untuk memahami masalah itu dengan lebih lanjut lagi. Keadaan ini memudahkan ibu bapa dan si anak memahami keperluan satu sama lain dan mencari jalan penyelesaiannya.

Ketiga, ibu bapa harus menerima anak dengan sepenuhnya. Kalau si anak berjaya, tahniah harus diberikan dan jika si anak gagal, pelukan harus dihulurkan kerana apa-apa yang berlaku itu merupakan anak kita. Zuriat yang diberi tanggung jawab untuk kita mendidik dengan sebaik mungkin bukannya meminggirkan mereka.

Pasti ada ibu bapa yang tidak memahami perkara yang saya luahkan ini. Jadi, elok saya mudahkan sahaja dengan mengucapkan perkataan iaitu “Jangan paksa anak kita, biarkan keinginan itu timbul sendiri” kerana saya percaya tidak ada manusia di dunia ini yang suka dirinya dipaksa melakukan perkara apa-apa pun termasuklah belajar dengan rajin. Anda suka dipaksa belajar?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: