Karangan Kebudayaan Penting Buat Masyarakat dan Negara Ini

October 22, 2009 at 2:07 am (Uncategorized)


Kebudayaan dikatakan komponen terpenting dalam diri seseorang itu dan negaranya. Negara kita memiliki pelbagai kebudayaan yang unik.

Pada pandangan anda, apakah kepentingan kebudayaan dalam kehidupan manusia.

Semua negara mempunyai kebudayaan mereka yang tersendiri dan berasa bangga akan kebudayaan itu. Begitu juga dengan negara kita yang memiliki pelbagai etnik dan sudah pasti kebudayaan yang berwarna-warni untuk dihayati oleh semua lapisan masyarakat. Masyarakat luar melihat kebudayaan negara ini begitu unik kerana tidak banyak negara dunia yang memiliki komposisi kaum yang serupa seperti Malaysia.Oleh itu, ada banyak kepentingan kebudayaan dalam sesebuah negara itu.

Kebudayaan berupaya menjadikan sesebuah masyarakat itu unik kerana setiap masyarakat memiliki amalan budaya yang tersendiri. Pengekalan sesuatu kebudayaan itu menjadi bukti bahawa masyarakat tersebut memandang tinggi akan budayanya lalu berusaha mengekalkannya dengan bersungguh-sungguh. Dalam masa yang sama, pengekalan ini menjadikan masyarakat itu terus unik kerana hanya mereka sahaja yang masih mengamalkan sesuatu amalan tersebut.

Pada masa yang sama, kebudayaan memberikan satu perasaan bangga akan kaum sendiri. Sikap bangga ini mampu memberikan satu semangat kepada sesuatu kaum itu untuk terus mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran globalisasi ini. Kehidupan moden yang penuh dengan kekeliruan identiti boleh menyebabkan mana-mana individu begitu mudah melupakan kebudayaannya. Jadi, kebudayaan boleh menjadi satu benteng yang menghalang berlakunya proses kehilangan kebudayaan dalam diri seseorang itu.

Malahan, kebudayaan yang diamalkan oleh seseorang mampu memberikan pandangan positif masyarakat luar akan individu tersebut. Pemakaian pakaian tradisional yang semakin dilupakan mampu memberikan tafsiran positif kepada orang luar apabila melihat seseorang itu masih memakai pakaian tradisinya. Orang luar melihat betapa kebudayaan negara ini diutamakan oleh ahli masyarakatnya menerusi amalan seharian yang mengutamakan kebudayaan pula. Jelaslah, kebudayaan mampu memberikan imej positif kepada masyarakat daripada kaca mata orang luar.

Kebudayaan juga boleh menjadi satu alat perpaduan yang mampu merapatkan hubungan antara kaum. Pengamalan sesuatu amalan budaya itu sudah pasti akan menimbulkan rasa akrab dan kesatuan yang mendalam dalam setiap jiwa manusia. Makanan tradisi, pakaian tradisi, budaya lama dan perayaan tradisi semuanya memberikan satu perasaan kekitaan yang mendalam dalam jiwa individu tertentu. Jelaslah, kebudayaan mampu mengukuhkan semangat perpaduan antara masyarakat terutama dalam negara yang berbilang kaum ini.

Pemilikan kebudayaan yang mendalam turut memberikan impak positif kepada tahap nasionalisme dalam diri masyarakat. Kebudayaan biasanya dikaitkan dengan perasaan cinta akan negara yang mendalam dan kebudayaan juga boleh menjadi alat yang mampu memupuk semangat nasionalisme ini. Masyarakat semakin sanggup mempertahankan negaranya kerana mereka sedar merekalah pelindung kepada keseinambungan kebudayaan yang sejati. Maka, kebudayaan boleh meningkatkan tahap cinta akan negara seseorang itu dengan begitu mudah.

Kesimpulannya, kebudayaan itu merupakan satu komponen penting dalam sesuatu kaum atau masyarakat. Kegagalan mengangkat martabat kebudayaan ini boleh membawa impak negatif kepada pembangunan kaum itu secara keseluruhannya. Kebudayaan juga boleh menjadi satu-satunya pengenalan diri yang amat bermakna buat seseorang itu. Bayangkan diri kita tanpa kebudayaan?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: