Percaya diri resipi berjaya

November 22, 2008 at 2:25 am (Uncategorized)


Percaya diri amat penting untuk berjaya buat pelajar

Ada pelbagai teori yang dipaparkan mengenai kejayaan seseorang. Ada yang mengaitkan keluarga, agama, pendidikan dan tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan tuah seseorang. Buat saya kejayaan seseorang itu banyak bergantung kepada dirinya sendiri terutama pada peringkat awal kejayaan itu hendak diperoleh. Maksud saya untuk berjaya seseorang itu perlu memiliki rasa percaya akan kebolehan diri sendiri dalam setiap bidang yang diceburi.

Lihat sahaja ahli sukan seperti Datuk Nicol David, Datuk Tony Fernandes seorang ahli perniagaan atau Datuk Seri Abdullah Badawi Perdana menteri kita yang berjaya. Saya yakin dalam diri mereka itu ada tersirat satu perasaan percaya akan kebolehan mereka untuk bersukan, membuat perniagaan yang menguntungkan dan memimpin negara dengan adil. Bagaimana saya berpendapat mereka semua ini percaya akan diri sendiri? Menewaskan jaguh sukan yang lain bukannya satu kerja yang mudah, begitu juga menjadi jutawan dalam sekelip mata bukannya senang atau memastikan setiap rakyat di negara ini hidup makmur sudah pasti sukar untuk dilaksanakan tetapi mereka semua berjaya.

Kalau saya renung secara mendalam, ramai pelajar yang menemui saya sering mengatakan bahawa mereka akan gagal walaupun peperiksaan masih jauh. Ada seorang pelajar yang pernah berjumpa dengan saya pada awal tahun dengan muka yang sedih lalu membuat pengakuan bahawa beliau sudah pasti gagal dalam kertas BM. Saya melihat diri pelajar itu lalu mendapati bahawa banyak pelajar saya yang serupa dengannya. Semua tidak percaya bahawa mereka mampu untuk berjaya dalam peperiksaan. Rasa merendahkan kebolehan sendiri umpama parasit yang mematahkan semanga juang seseorang.

Percaya terhadap kebolehan sendiri memberi satu semangat awal untuk mencapai apa-apa yang dihajati di dunia ini terutama dalam aspek pendidikan. Keyakinan dengan kemampuan diri memberi pelajar satu pemangkin bahawa mereka boleh berjaya kerana mereka insan yang sanggup mengharungi dugaan peperiksaan. Sikap percaya diri ini harus ditanam dalam diri setiap pelajar sebelum anda memulakan alam persekolahan nanti.

Dengan tertanamnya sikap percaya akan diri, pelajar akan sedar bahawa hidup mereka akan menghadapi pebagai rintangan tetapi mereka akan tabah menerimanya. Ketabahan ini mampu diteruskan kerana pelajar percaya diri sememangnya tabah. Mereka akan berasa yakin lalu persediaan peperiksaan berjalan dengan lancar.

Ingat lagi pelajar saya yang datang menemui saya di bilik guru? Saya memberitahunya dengan satu nada, kalau anda sendiri tidak yakin akan kemampuan anda untuk berjaya, bagaimana pula pandangan saya sebagai orang luar terhadap anda? Adakah saya patut mendidik anda? Mukanya berubah dan keluar dari bilik guru tanpa menoleh ke belakang.

Mungkin kadangkala kita terlalu melihat faktor luaran seperti pergi ke kelas tuisyen, membuat latihan yang banyak, meminum minuman tonik, beriadah dan sebagainya lalu kita lupa bahawa sebagai manusia kita diberi satu minda yang kuat. Minda yang mampu memberi semangat dan membawa diri kita untuk menerima semua dugaan peperiksaan demi kejayaan kerana kita semua percaya akan diri sendiri. Jadi, percayah diri anda sendiri sebelum orang lain mempercayai kemampuan anda yang sejati itu.

Teruskan belajar pelajar-pelajarku.

Leave a comment